Thursday, June 28, 2007

You Are Too Good To Be True....

Baru-baru ni aku ada terbaca surat tunjuk sebab student aku (pasal apa, takyah cerita la ye). Yang buat aku tertarik ialah bapak budak tu buat cover letter untuk anak dia! (apa yang aku tahu, dia ni anak tunggal so macam dimanjakan sikit parents dia) Yang tarik perhatian aku, cover letter tu la. Bapak dia ni supposedly a professional, tapi suratnya macam budak-budak! Kenapa aku cakap macam tu? Pernah tengok formal letter punya letterhead, even yang personalised, yang letak gambar?

Itu satu hal…satu hal lagi. Sekali pandang nampak hebat, dua kali pandang macam ‘too good to be true’. Sebabnya…’gentleman’ tu bubuh credentials dia sekali termasuk la Masters dari Oxford (ooohhhh!!!) dan Doctorate dari Harvard (ahhhhh!!!!). Bukan aku iri hati…tapi nampak macam ada yang tak kena aje….

Dan last sekali, credentials yang paling hebat…T. Ananda Krishnan pun takleh lawan..dia claim dia CEO dan Presiden sebuah syarikat di US! Tapi kat bawah tu, tulis pulak ‘Malaysian Chapter’…rasa aku yang guna chapter-chapter ni setakat persatuan aje bukan syarikat….apa kes?

Tak tau la kalau dia nak impress kitaorang supaya tak ambil tindakan kat anak dia….

Tuesday, June 26, 2007

Atlantis, Nuklear Kuno dan....merapu!

Semua tahu pasal legenda Atlantis kan? Satu tamadun hebat zaman purba yang dimusnahkan tsunami dan gempabumi dalam masa satu hari. Dan dalam Berita Minggu baru-baru ini ada artikel yang memetik epik Mahabratta dan Ramayana dimna kononnya tamadun kuno berperang menggunakan senjata nuklear. Ramai yang percaya, bahawa cerita itu semuanya benar, paling tidak pun teruja dengan cerita-cerita tu…termasukla aku (satu masa dulu).

Tapi aku sekarang mengambil pendekatan sinikal terhadap kedua-dua cerita tu. Bagi aku, karya Timaeus Plato serta epik Ramayana dan Mahabratta hanyalah cerita rekaan semata-mata dengan sedikit reference kepada lokasi sebenar bagi ‘menyedapkan’ cerita. Bagi cerita Plato, ianya merupakan ‘cautionary tale’ bagi mengingatkan masyarakat Athens supaya jangan terlupa diri dengan kejayaan tamadun mereka. Berkemungkinan juga Plato menggunakan letusan gunung berapi dan tsunami di Thera yang memusnahkan tamadun Minoan sebagai inspirasi karyanya.

Dan mengenai senjata nuklear kuno pula...well, karya Mahabratta dan Ramayana tu bercerita tentang perang dewa-dewa. Penulis epik tersebut mungkin menggunakan imaginasinya bagi menunjukkan kehebatan dewa berbanding manusia. Dan kalaulah betul ada senjata nuklear tersebut...maka epik tersebut juga boleh jadi tidak wujud! Kenapa? Deskripsi peperangan menunjukkan betapa dahsyatnya ia berlaku. Dan kalau macam tu punya dahsyat maka bumi India akan dilitupi nuclear winter dan tu tak kira kematian akibat radiation poisoning dengan juga mutation daripada nuclear fallout lagi...siapa yang nak cerita? Dan satu lagi, alangkan ada bab dalam Sejarah Melayu pun kena baca dengan ‘secubit garam’, inikan pula epik perang dewa yang siap ada tentera monyet lagi! Artikel BM tersebut turut memetik yang peperangan tersebut berlaku antara kerajaan India kuno dengan ‘Atlantis’!

The article is interesting, no doubt but I wonder if we (at least some of us) have become like the Thermians in the movie Galaxy Quest – thinking that TV shows are ‘historical documents’. If things like this keep up, I wonder, in thousands of years to come (if we have that much time) our descendants will think that transformable, sentient robots did exist!

Part 2 – merapu

Aku buat lawak ekstrim dalam satu forum tempatan mengenai hal nukes tu – aku kata kesan ‘batu cair dan radioaktif’ di beberapa lokasi di dunia yang dikatakan kesan letupan nuklear tu semua diakibatkan warrior wannabe kaum Yautja yang perlu melalui proses menjadi dewasa/pahlawan kaum mereka. Untuk menjadi warrior, pemuda Yautja ni perlu memburu kaum Xenomorph yang dibiakkan khas oleh mereka sendiri. Kalau kaum Xenomorph jadi terlalu ramai dan tak dapat ditewaskan, maka pemuda Yautja ni perlu meletupkan bom nuklear yang dibawa mereka…tu yang jumpa kesan2 radioaktif tu kat tapak tamadun purba.

Kalau nak tau siapa kaum Yautja dan Xenomorph ni….korang google la sendiri!!

Sunday, June 24, 2007

Tauge Yang Di'Kencing'

Alkisah ceritanya:

"Hehehehh, mesti ramai suka makan taugeh nak pulak campur dlm char kuey teow.......hmmm rangup. Tapi nak beli taugeh tu kene buat eksperimen dulu la..........beli sket, jgn makan dulu, sebaliknya simpan dulu utk 3 hari. Pastu cuba bau taugeh tu lepas 3 hari camane...........dan kalau boleh jgn beli taugeh yg kaler putih berseri tu.

Keputusan yg mungkin boleh didapati..........lepas 3 hari bau taugeh tu hanching semacam, bermakna taugeh tu disiram dgn urine aka air kencing dan air urine tu la jugak menyebabkan kaler putih berseri. Kalau nak tau taugeh keluaran bumiputera senang jer, kaler dia mcm kekuningan sket dan cepat layu serta kurang rangup, sebabnya langsung tak guna urine sebagai baja........

nih info dari "pegawai opis" (sic) aku yg pernah buat lawatan ke pusat2penanaman taugeh dibeberapa negeri tertentu yg diusahakan oleh cha yanun alip. Siap terjumpa satu bilik khas simpan air kencing utk disiram pada pokok2 taugeh tu............dan kenapa taugeh jodik mangsa?

Sebabnya taugeh ni jenis pokokmenyimpan air siraman bulat2 terus dlm batangnya........tak spt sayuran lain iaitu sayuran2 berdaun hijau yg mengalami fotosintesis semasa proses penyerapan baja atau dgn erti kata lainnya air siraman masuk ketanah dulu barulah akar menyerap dan proses fotosintesis berjalan utk penyerapan zat2 dari baja..............tak mcm taugeh dia serap terus ape yg kita siram sebab pertumbuhan tumbesaran bukan secara fotosintesis..............tu sbbnya kalausimpan dlm masa 3 hari bau dia wangiiiiiii semacham..............so bagitaula kat sedara mara, kengkawan pasal nak mengenal taugeh2 hanching dgn taugeh2 bumiputera..........."

Untuk orang yang makanan harian dia semuanya dari KFC, McD, mamak, abang bawak van dan seangkatan mereka, cerita pasti menggentarkan. Ataupun orang yang mudah terpengaruh dengan cerita merepek…Juga orang yang tak tau (atau tak mahu tahu) konsep economy of scale! (typical mitos camni, dia akan bubuh authoritative figure macam 'pegawai' untuk 'kuatkan' hujah)

Tauge, tak kira la, putih ke yang off-white ke, lepas 3 hari akan berbau hancing sebab proses pereputan (bau hancing tu ialah ammonia yang terhasil dari proses pereputan) dan takde kena mengena dengan penyiraman menggunakan air kencing.

Kebengongan mitos ini ialah:
1. Siapa nak kumpul kencing banyak-banyak? Kalau setakat apek kebun dengan pembantu dia entah berapa lama baru boleh kumpul...kalau nak guna urea, baik guna baja urea yang lebih murah dan praktikal. Dan satu lagi, dengan merujuk kepada tandas awam Malaysia, kan hancing gila? Kalau disiram dengan air kencing, takyah 3 hari, time-time tu jugak dah hancing!


2. ‘Penerangan’ proses fotosintesis yang langsung tak betul! Aku ingat budak Form 1 pun boleh terangkan apa dia proses fotosintesis…atau korang check sendiri kat Wikipedia ke mengenai proses tersebut. BTW tauge ada akar ye….dan dari akar le air dan mineral diserap. (Pokok kiambang yang terapung dalam air pun ada akar!)

Yang menariknya, dalam satu forum ada thread mengenai perkara ni. Setelah diterangkan aku sendiri dan seorang yang mungkin pengusaha warung/kedai makan atau tukang masak hotel, masih ada yang ragu-ragu pasal tauge tu…

Sebagai penutup…siapa yang percaya dengan cerita ni…toksah la sebab hangpa semua dah kena kencing!!!

Thursday, June 21, 2007

Kenapa saya...

I

Sepertimana yang sahabat-sahabat maklum, beberapa entry dalam blog ini menyentuh ‘urban legend’ atau menurut kamus saya ‘cerita merepek yang diedar sebagai cerita benar dan diterima membabi-buta’. Antara yang saya dah sentuh termasuk mitos mengenai Coke, sardin berkuah lendir siput babi, pendaratan manusia di bulan (or lack of it), kedai makan guna mandrem dan lemak babi. Selain menulis dalam blog, saya turut membuat komen dalam forum-forum tempatan dimana hal-hal tersebut timbul. Dan sudah semestinya saya menolak cerita-cerita merepek tersebut sebab amat terserlah kemerapuannya. Walaupun dah terserlah tahap merapu cerita tersebut dalam forum yang saya join, boleh dikatakan 95% reply akan berkata ‘TQ for the info..lepas ni tak nak beli/makan/etc’, ‘Jom kita pakat bikot syarikat xxxx sebab...’ dan seangkatannya. Dan baru-baru ini saya terbaca reply berikut mengenai sardin berkuah lendir siput:

Dari apa yg saya lihat ***** ni seolah-oleh selalu mempertahankan sesuatu perkara buruk yang dibangkitkan.Walaupun ada bukti tentang hal tersebut cik ***** seperti tak suka ianya menjadi isu lalu ***** pun memberikan beberapa lagi ulasan sebagai alasan menentang atau menolak mana2 stataement yang di buat.Kadang-kala saya rasa cik ***** ni adalah special branch yg di hantar utk cover balik apa saja yg boleh menjejaskan sesuatu perkara ataupun untuk kepentingan peribadi atau kelompok puak tertentu.Soal sardin ni memang terbukti wujud dicampur lendir siput babi malam masa tahun 1970an lagi dan ada tapi tak berbangkit.Mungkin bukan semua sardin tetapi kita kena ambil perhatian bila isu macam ini dah berbangkit!Jangan kerana suka makan sardin atau nak jaga kepentingan sesuatu ataupun suka tengok orang terus makan benda haram ***** nak main peranan untuk kepentingan peribadi.
Cukup-cukuplah tu.

(Yang asterisk tu nick saya la) Saya tak dapat nak jawab sebab moderator dah kunci thread tersebut tapi ada seorang sahabat dah tolong jawabkan (Terima kasih bro!). Sebab dah tak boleh nak jawab kat sana, saya jawab di sini.

Saya memang membangkang ‘perkara buruk’ tersebut sebab ianya mengarut! Dan mengenai bukti pula, kalau setakat surat terbang, masuk court tak admissible tau? Even BPR kena buat siasatan dan kumpul bukti sendiri setelah dapat surat terbang mengenai perihal rasuah seseorang tu! Surat terbang tu setakat jadi penyebab kertas siasatan dibuka. Bila surat 'siput' tu kata ‘sejak 1970an lagi’ ianya bukan bukti tau? Setakat allegation (more likely unsubstantiated rumour) sahaja.

Sebab kenapa saya amat sinis bila keluar cerita begini ialah, orang kita amat terkenal dengan PHD dan sikap main redah aje. Pantang sesuatu benda tu hit atau bila tak dapat bersaing, maka keluar la cerita-ceriti tak enak (dan mengarut). Dan masses menerima cerita ini untuk disebarkan lagi. Kita rasa kita dah buat jariah dengan mengedar cerita ni...tapi sebenarnya kita menampakkan lagi ketololan, kebaghalan dan ketidakprihatinan diri kita sendiri. Dan siapa ingat kes High5? Sijil halal mereka ditarik sebab kilang kotor dan sebab depa guna minyak dari sumber baru tanpa dimaklumkan pada JAKIM terlebih dahulu...itu sahaja. Tapi kat internet, ceritanya berubah - sijil depa ditarik JAKIM sebab depa guna minyak babi...dan nak kasi lagi sedap, minyak babi tu dikatakan diimport dari Israel...tanpa menyedari yang permintaan babi di Israel adalah kecil sebab agama Yahudi turut mengharamkan babi!

Perjuangan ini takkan selesai!!
II
Dan sebut pasal Coke, dalam forum yang sama..ada seorang hamba Allah ni kata daging boleh rosak bila direndam sehari-dua dalam Coke...abis kena makan asid Coke tu katanya dan dia cabar orang untuk buktikan perkara tu. Memang la daging tu rosak...yang hang pi rendam kat atas meja buat apa!!! Busuk la daging tu!!! Jangan kata Coke, rendam dalam air RO pun jadi rosak!!!

Penutup kata..aku ambil dialog dari Star Wars Episode IV : A New Hope

Han : Damn fool, I knew you were going to say that.
Ben: Who's more foolish, the fool, or the fool who follows him?
Jadi siapakah kita, si bodoh? Atau si bodoh yang mengopy-paste e-mail e-mail tersebut?

Tuesday, June 19, 2007

Bila Belajar Tanpa Guru....

Semua tahu kes Lina Joy dan ramai tahu pasal dakwaan Mufti perak yang beribu-ribu orang Islam di Malaysia dah murtad. Ada yang murtad sebab nak bebas (konon) ada yang murtad sebab ikut teman (lelaki atau pompuan) dan ada yang murtad sebab kajian dia ke atas agama lain…

Dalam satu forum tempatan, aku ada terjumpa golongan terakhir tu. Terkejut jugak aku bila dia keluarkan ayat-ayat macam ni…

"...itu apa yg Islam ajar n org Islam, nak x nak kena percaya tanpa apa2 bantahan. Bosannya hidup camtu...."

"Bagi saya cerita tentang Iblis menentang tuhan hanya kerana disuruh menyebahkan hormat kepada adam punca kenapa manusia ada yg berpaling dari jalan kebenaran hanya sebuah cerita mengarut. What a nonsense...x kan lah sampai dah beribu-ribu tahun masih x ada kesedaran diri dalam kapla hotak Iblis tu apa yg dia buat tu akan menyebabkan dia masuk ke neraka selamanya? Nonsense!"

"bagi saya citer tentang proses kewujudan adam dan hawa adalah mengarut. Kenapalah kita sibuk sangat ngan syurga neraka? Kewujudan kita di Bumi x lebih hanyalah kerana Overself = kewujudan sebenar kita menimba pengalaman sebagai memudahkannya naik ke plane of existence yg lebih tinggi...."

"Apa yg saya faham tentang syurga n neraka.....Syurga = Sogokan/rasuah kepada manusia supaya taat kepada Nya
Neraka = saya x faham kenapalah tuhan sampaikan rela menggunakan ugutan dimasukkan ke dalam neraka hanya kerana nak makhluk Nya menyembah Nya?Kenapalah tuhan x ciptakan saje malaikat ataupun manusia yg tiada nafsu n hasutan Iblis, pasti mereka x berpaling dari jalan tuhan..."

Islam tak melarang kita mengkaji agama lain. Tapi kajian itu sepatutnya meningkatkan lagi keimanan…bukan membuat seseorang itu menyimpang. Ini la yang dikatakan ‘Bila menuntut ilmu tanpa berguru…gurunya Iblis’. Wallahu’alam.

Sunday, June 17, 2007

Save UMs!

(Title entry aku olah dari kartun kat Disney Playhouse...heheh)

Aku bukan alumnus Universiti Malaya. Mak aku ye la. Kampus Pantai Baru tu pun ada la 2-3 kali aku jejak - masa ambik exam CLP, jadi pegawai pengiring student, pick-up awek dulu...yang banyak kalinya setakat jadi short-cut aje. Kira aku takde la emotional tie dengan universiti pertama Malaysia ni.

Tapi aku terbakar jugak la dengar khabar satu pemaju hartanah nak beli tanah UM dan pindahkan kampus ke Sepang. Sebabnya? Mereka nak majukan tanah tu sebab ada nilai berbilion RM! Aku memang cukup terbakar dengan property developer (tak semua) kat Malaysia ni, pantang ada tanah kosong atau 'not for commercial' mesti nak diambiknya...tu yang habis gondol hutan dan bukit serta menukar air sungai menjadi teh susu! Kalau nak ambik tanah UM tu nak buat perumahan orang msikin orait la jugak..ini more apartments and condominiums!!!

Kekalkan Universiti Malaya di Pantai Baru!!!

Monday, June 11, 2007

Ais Berlemak....

Artikel ini berguna untuk semua.Bukan sahaja amalan meminum air panas selepas makan, tetapi berhubung SERANGAN JANTUNG!!!!.Kita tidak akan kehilangan apa-apa... malah akan mendapat faedah dari amalan ini.Kepada sesiapa yang suka minum AIS, artikel ini sesuai untuk anda baca. Sememangnya sedap minum air berAIS selepas makan.
[edited]
Walaubagaimanapun, AIS akan membekukan makanan berminyak yang baru kita makan. Ia akan memperlahankan penghadaman kita. Bila lemak-lemak ini terbentuk di dalam usus, ia akan menyempitkan banyak saluran dan lama kelamaan ia akan menyebabkan lemak berkumpul dan kita semakin gemuk dan menuju ke arah mendapat pelbagai PENYAKIT.

OK selama ni aku dengar minuman berais tak elok – boleh batuk, lelah dan sebagainya. Yang tu boleh la pakai jugak. Tapi tang yang kat atas ni....macam hampeh aje? Ais bekukan makanan berminyak? Helo, letak air berais dalam mulut, tak lama temperature air tu dah naik dah. Dan tak pernah aku tengok minyak membeku dalam pinggan yang aku tuang ais lepas makan...“Lemak terbentuk dalam usus disebabkan beku“? Aiyooo temperature 37 degree Celcius mana boleh beku! Lemak terkumpul yang menyebabkan sakit jantung tu berlaku dalam salur darah...bukan dalam usus! Dan tak kira la makan sambil minum air panas ke berais ke kalau dah berlemak tu tetap boleh sebabkan obesiti!

Nak bagi nasihat pun...get your facts right first!

Thursday, June 07, 2007

...dan bercakap pasal 'Allahyarham'

aku teringat tahun-tahun awal 90an dulu. Kat Radio 1 (Klasik Nasional FM sekarang) depa ada panggil John Goh yang baru buat album solo (sebelum2 tu John Goh ni berduet dengan A. Ali sebagai Pelangi). Lepas tu ada la panggilan dari pendengar. Selepas mukadimah dengan DJ, dia pun dipersilakan untuk bercakap. terus kawan tu bagi salam...'Assalamualaikum John Goh!' dan John Goh dengan teragak-agak menjawab 'Er..er ya...'

Aku yang kat bilik terus berguling ketawa...sebab mamamt tu bagi salam dengan nada konfiden gilos.....

Terima kaseyyyyy Loga

Baru-baru ni dunia hiburan Malaysia kehilangan seorang ahlinya bila Loganathan Arumugam meninggal dunia akibat barah paru-paru. Dari satu segi, Alleycats dah kehilangan separuh nyawa sebab Loga merupakan 'second vocal' Alleycats. Bukan sahaja Loga menyanyikan beberapa lagu hits Alleycats seperti Nota Terakhir dan Kisah Kau dan Aku malah dia juga yang lebih banyak berkomunikasi dengan penonton pasal...tau-tau aje la David Arumugam tu kan, banyak 'terima kaseyyyy' aja...heheh.

Loga banyak menyumbangkan suara untuk apa yang aku panggil 'second-string hits' atau lagu hits Alleycats yang tak sepopular lagu ciptaan M. Nasir. Sebagai sorang yang membesar dengan album Alleycats (pakcik aku ada semua rekod atau kaset bila album depa keluar), aku juga ucapkan takziah kepada keluarga mendiang. He's gone but the memory remains.

RTM pun ada buat tribute untuk Loga. Yang lawaknya bila penonton diberi peluang SMS. Siap ada kata 'semoga rohnya dicucuri rahmat', guna perkataan 'Allahyarham' dan ayat dan frasa lain yang biasa digunakan bila orang Islam meninggal....tergelak jugak aku, gamaknya dah biasa sangat dengan perkataan tu.

(Time camni baru aku teringat, aku nak cari balik album 'Drama Kehidupan' Alleycats. Seingat aku lagu jiwang tak banyak sangat dalam album ni, banyak lagu bercorak social commentary dan suara hati (ni aku punya terma la). Lagu dalam album ni pun teramat la jarang dimasukkan dalam kompilasi)

Tuesday, June 05, 2007

Oh! Cik Mek Su (Bah. II)


Lepas hampir empat tahun ‘sain’ kontrak, TUDM menerima 2 pesawat pertama Sukhoi Su-30MKM (MKM = Modernizirovannyi Kommercheskiy Malaysia = Modernised Commercial Malaysia) Pesawat yang diberi nama kod ‘Flanker’ oleh NATO ini merupakan satu lagi anjakan dalam TUDM dengan memiliki salah sebuah pesawat paling canggih buat masa ini (dikatakan lebih canggih dari F-15E atau F/A-18E/F Super Hornet). Pesawat ini akan dihantar melalu pesawat pengangkut Antonov An-124 ke TUDM Gong Kedak pada pertengahan Jun nanti. Haha..memang menarik dan ini yang buat aku bersemangat nak ke LIMA 2007 hujung tahun nanti. Aku pun dah ada tinggalkan ruang dalam display cabinet aku untuk model Su-30 ni..hehehe.

Anyway, ada jugak suara-suara sumbang…antaranya “Malaysia tak perlu pesawat sebegitu sepertimana syarikat teksi tak perlu pakai Ferrari” dan “membazir duit…baik tolong orang miskin”. Komen yang pertama bukan dari orang Malaysia. Komen yang kedua ye. Allo sedara, nak kritik kerajaan buang duit pun bukan kat bahagian ni ye? Lain la sedara rasa TUDM dah cukup canggih dengan pakai McDonnell Douglas A-4PTM Skyhawk aje, atau kalau Skyhawk tak cukup canggih pakai Vought F4U Corsair atau nak lagi canggih pakai Sopwith Camel?



Dan untuk komentar yang pertama…aku rasa aku tahu orang tu dari mana. Katanya Malaysia beli Flanker ni sebab pemimpin Negara dan tentera kita risaukan tentang errr ‘saiz anggota reproduktif’ dan membeli pesawat canggih sebab nak cover kekurangan fizikal tu. Tapi aku rasa dia tu yang ada masalah ‘irihati anggota reproduktif’. Almaklum la negara dia dulu pesawat canggih jugak, tapi semua dah kena jual tinggal pesawat kipas aje. Tapi dia apa susah, sejak merdeka sampai la ni depa dok bawah ketiak Pakcik Sam aje...walaupun Pakcik Sam dah tak duduk tempat dia....

Kredit foto : "Standupper" (Forum Cari)

Sunday, June 03, 2007

Marahkan accident, plaza tol disalahkan!

Ok, rasanya semua dah tahu pasal kemalangan ngeri di Plaza Tol Hutang Kampung, Alor Setar minggu lepas dimana sebuah trailer melanggar tiga kereta menyebabkan 8 orang terbunuh. Aku tak lalu la situ selalu tapi masa hujung minggu baru ni aku lalu situ...masih ada kesan darah....



Sebaik berlaku kemalangan tu maka ramai la orang memberi pandangan. Apa yang menarik perhatian aku pasal komen individu tertentu pasal lokasi plaza tol yang dikatakan menyumbang kepada kemalangan. Kiranya individu tersebut menyamakan lokasi tol Hutan Kampung dengan tol Jelapang, Perak. Katanya plaza tol terlalu dekat dengan overfly jalan Langgar menyebabkan pemandu tak sempat nak mengelak barisan kenderaan yang nak membayar tol. Seterusnya individu tersebut mencadangkan plaza tol dipindahkan jauh sedikit dari lokasi sekarang. Kat TV pulak ada sorang penonton sokong kenyataan tu katanya dia juga hampir terlibat dalam kemalangan di lokasi sama tapi sempat 'mengelak'.



Unless proven otherwise (brek rosak ke hape), aku rasa kemalangan tu kecuaian pemandu trailer, plain and simple. Takde langsung kesan brek pada jalan - memang trailer tu rempuh tanpa belas kasihan. Jalan pulak lurus, cuma dalam 100 meter nak sampai tol ada curve sikit...emphasis on sikit. Kemalangan pun berlaku sebelum curve tersebut. dalam semenjak dua ni kenderaan memang banyak sikit sebab cuti jadi queue panjang daripada biasa. Aku rasa si pemandu trailer khayal (berangan ke, lalok ke mabuk ke) dan tak perasan queue tu lantas merempuh barisan tu.



Dan mengenai flyover tu....takde kena mengena. Jarak antara flyover dengan tol lebih kurang 1km dan tinggi flyover dalam 5 meter. Aku yang bawak kereta ada boleh nampak sampai ke tol..apakan lagi dalam cab trailer yang lebih tinggi....