Monday, November 17, 2014

World At War...NOT!

Aku dah lama tak mengulas isi-isi blog dan FB yang merapu, merepek dan meraban. Tapi yang ni nak tak nak aku ulas jugak...sebab tahap merepek yang dah 'Up To 11'. Daripada 'status update' FB seseorang yang kononnya tahu segalanya pasal MH370 dan MH17 (ringkasan)

- Tengok berita di utube (sic) news (Ya, youtube)
- 4 kapal perang Rusia bawa 3,240,000 tan (3.24 juta tan) bom nuklear termasuk submerine (sic) lalu Laut Cina Selatan
- Kapal perang rusia tsar tembak peluru berpandu nuklear ke arah coral perairan Queensland Australia (asalnya Sydney)
- Media Malaysia takut lapor. media Thai dan Brunei lapor. Tujuan nak warning Australia pasal konon jadi talibarut US kes MH370 dan MH17
- Australia diambang perang. Askar Australia tak berani respon.

Bila aku terbaca cerita ni yang dikongsi rakan2 dalam Facebook, benda pertama aku buat ialah kutip IQ aku yang gugur bertaburan...dah la IQ aku banyak mana aje....Baiklah sekarang ni faktanya dulu:

- Rusia mmg ada hantar kapal-kapal tentera laut ke perairan Australia iaitu 'cruiser' Varyag, kapal-kapal pembinasa Admiral Panteleyev dan Marshal Shaposhnikov serta dua buah kapal sokongan iaitu kapal tunda Fotiy Krylov dan kapal bekalan Boris Butoma 
- Kapal-kapal berkenaan melalui Lautan Pasifik, kemudiannya Laut Karang (Coral Sea) dan kemudiannya berada di luar perairan Queensland
- Kehadiran kapal perang Rusia adalah normal, terutama jika Presiden berada di luar negara
- Presiden Putin berada di Brisbane, Australia bagi menghadiri mesyuarat negara-negara G20
- Kapal Varyag dipersenjatai 12 peluru berpandu permukaan-ke-permukaan P-500 Bazalt/SS-N-12 'Sandbox' manakala dua buah kapal pembinasa berkenaan dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal/anti-kapal selam Metel@Rastrub/SS-N-14 Silex sebagai senjata-senjata utama. Semua peluru berpandu berpandu berkenaan boleh dipasang kepala peledak nuklear. 
- Kapal-kapal berkenaan dipantau tentera laut dan tentera udara Australia. Juga prosedur biasa.

Sekarang, boleh aku ulas 'kemerepekan' status update tadi?
"Kapal perang termasuk kapalselam bawa 3.24 juta tan bom nuklear"

Cuma ada 3 kapal perang dan satu kapal sokongan. OK, kapalselam mungkin tidak dapat dikesan pergerakan awalnya. Mengenai nuklear tu, memang ada kemungkinan kapal2 berkenaan bawa peledak nuklear tetapi kemungkinannya rendah, terutama bila diambilkira yang sekarang bukan zaman Perang Dingin. Jumlah yang dikatakan penulis blog adalah sangat-sangat tidak munasabah kerana berat dengan muatan penuh setiap kapal pembinasa berkenaan adalah 7,500 tan, Varyag pula 11,400 tan manakala Boris Butoma 22,000 tan. Perlu diingat yang jumlah berkenaan termasuk peluru untuk senjata lain, minyak serta bekalan-bekalan lain. Saya tak pasti mana datangnya jumlah 3.24 juta tan berkenaan. Mungkin dia menganggar kekuatan senjata-senjata nuklear yang boleh dibawa dalam TNT-equivalent? Atau rasanya lebih kepada menyedapkan cerita...ya lah, bayangkan 3.24 juta tan bahan nuklear diletupkan.

Laluan diceritakan pula tak betul. Mengapa perlu kapal-kapal berkenaan melalui Laut Cina Selatan untuk ke timur Australia?

"Kapal-kapal tsar Rusia tembak peluru berpandu berkenaan ke arah Sydney (kemudian disunting menjadi perairan Queensland)"

Dalam hubungan antarabangsa, tindakan sedemikian bukan lagi provokasi, tetapi casus belli - act of war. Dan lebih mengerikan ianya merupakan serangan nuklear pertama sejak pegemboman Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Tiada siapa akan berdiam diri. Itu jika sebenar-benarnya berlaku. Bagaimanapun, jika Rusia hilang kewarasan dan menyerang Australia, ianya boleh dilakukan dengan ICBM-ICBM mereka yang masih aktif dan juga dengan menggunakan kapalselam peluru berpandu mereka. kapal-kapal yang berada di luar pantai Queensland berkenaan cuma dilengkapi peluru berpandu anti-kapal dan anti-kapalselam yang tidak boleh digunakan untuk menyerang sasaran di darat. Dan ini mungkin menyebabkan tuan punya FB berkenaan menyunting semula penulisannya.

Kapal tsar? Seingat saya, cuma sebuah kapal sahaja, dari kelas Kirov diberi nama sempena tsar Rusa - Pyotr Velikiy. Dan Pyotr Velikiy berkhidmat dengan Northern Fleet di Lautan Atlantik. Dan kapal-kapal zaman tsar Rusia semuanya berada di dasar Selat Tsushima, Jepun, tenggelam dalam pertempuran tahun 1905. Cuma cruiser Avrora sahaja masih kekal sebagai muzium.

"Media Malaysia takut melaporkan serangan"

Media Malaysia tidak melaporkan kerana ianya TIDAK BERLAKU. Laporan yang ada pun akan cuma menyebut kehadiran kapal-kapal berkenaan. Gaya penulisan juga menunjukkan seolah-olah ada tiga negara sahaja yang ada media, dan salah-satunya tidak membuat laporan. Penulis seolah-olah melupakan media beratus negara lain, dan serangan nuklear adalah sesuatu yang amat newsworthy.

"Askar Asutralia tak berani serang"
Berkait dengan casus belli tadi, sesiapa sahaja akan menyerang balas. Tiada tindakan Australia kerana kapal-kapal tersebut berada di perairan antarabangsa (malah luar Zon Ekonomi Eksklusif Australia) dan tiada provokasi dibuat. Jadi mereka cuma diperhatikan sahaja.

Untuk menyokong ceritanya, beberapa gambar dikirim, termasuk gambar sebuah kapal melancarkan roket. Masalahnya gambar berkenaan ialah kapal perang China melancarkan roket anti-kapal selam jenis RBU, yang tidak langsung ada pilihan nuklear, disebabkan jarak yang pendek.

Jadi apa yang berlaku cumalah kehadiran kapal perang Rusia di luar perairan Australia. Keadaan mungkin sedikit tegang, tapi semuanya masih normal. Cuma apa yang menarik perhatian,  penulis cerita yang pada dasarnya bohong ini (berlaku serangan nuklear ke atas Australia) mendapat komen-komen yang menyokong. Saya ambil sebahagian:

"Risaunya, suami saya navy...tengah belayar di JOHOR'

"Ye ke...baru plan nak pergi (letak nama bandar di Australia)" (yang ni ada beberapa orang)

"tqvm sebab sentiasa update kami, dapat juga kami info yang baru dan betul" (biar betul?)

"what goes around comes around"

"baru Australia tahu langit tinggi ke rendah"

...dan banyak lagi. Yang kelakarnya, beberapa hari selepas itu, penulis mendakwa yang Vladimir Putin mengatakan kehadiran kapal perang berkenaan bukan setakat mengiringi beliau tetapi bertujuan 'backing' beliau dalam memaksa Tony Abbott mengaku penglibatan Australia 'menghilangkan' MH370 dan menembak MH17. Putin juga bawa bukti video penembakan MH17 oleh pesawat Ukraine. Dimana Putin berbuat demikian? Di Persidangan G20. Dimana persidangan dibuat? Di Brisbane, Australia. Ya Brisbane dimana peluru berpandu nuklear telah diledakkan di luar pantainya beberapa hari sebelum itu. Dan macam biasa, para pemberi komen lupa yang sebelum itu 'Australia diserang nuklear Rusia'....kalau dah diserang, bagaimana mesyuarat boleh berjalan seperti biasa. Bagaimana dengan fallout? Dan bagaimana Putin dengan selamba boleh terus sama-sama bersidang?

Yang saya hairan, macamana mereka ni terlalu mudah tertipu dengan berita palsu ni? Yang membuat saya beristighfar ialah bagaimana penulis dan ramai pemberi komen yang menggunakan nama Allah dalam cerita bohong. Membuat saya terfikir, kalau cerita yang terang-terangan bohong ini boleh guna nama Allah, bagaimana dengan berita yang sama-samar? Atau bagaimana nak hadapi fitnah Dajjal nanti?

No comments: